DSR PASARKAN PRODUK BERASASKAN DURIAN DI DAILY FRESH

KUALA LUMPUR: Penyedia produk durian Musang King, DSR (Durian Sudah Runtuh) Group menjalin kerjasama dengan Daily Fresh Foods Group bagi aktiviti runcit produk berasaskan buah itu menerusi rangkaian premis Daily Fresh di seluruh negara.

Pengasas Bersama DSR, Datuk Ng Lian Poh, berkata kerjasama itu turut membabitkan pembangunan produk berasaskan durian asli Musang King daripada dusun syarikat seluas 18.2 hektar di Raub, Pahang, yang akan dijual di lebih 1,600 cawangan Daily Fresh di 16 negara, termasuk di Malaysia.

Menurutnya, kerjasama itu akan mengetengahkan pendekatan ‘dusun-ke-pasaran’ bagi meraih manfaat penuh durian atau Raja Buah selain menjadikan produk khusus itu dapat ditawarkan sepanjang tahun.

“Sebagai permulaan, DSR Daily Fresh akan membuat tawaran eksklusif makanan seperti bertih jagung durian, manisan gelato Musang King selain produk pastri seperti kroisan berinti gelato durian itu, pastri lapis, wafel, tart selain minuman teh halia Bentong di kiosk Daily Fresh di Malaysia seawal April 2021.

“Kami akan memanfaatkan pengalaman luas Daily Fresh dalam membangunkan produk kegemaran pengguna dengan piawaian tertinggi menerusi pengurusan keselamatan kemudahan pengeluaran makanan yang diperakui serta memastikan produk ini mencapai kualiti dan konsistensi yang ketat,” katanya pada majlis menandatangani secara maya, hari ini

Sementara itu, Pengarah Urusan Daily Fresh, Chay Hong Choong berkata produk berasaskan durian itu akan dimajukan dalam skala besar-besaran di kilang pengeluaran syarikat di Simpang Renggam, Johor.

“Kami optimis terhadap kerjasama dengan DSR yang akan menjadi pemangkin bagi melonjakkan pertumbuhan pasaran produk hiliran durian di peringkat global.

“Kerjasama dengan DSR Daily Fresh ini juga membabitkan akses segera ke atas pusat jualan sedia ada Daily Fresh di luar negara seperti Indonesia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Arab Saudi, Kuwait, Oman, Bahrain, Qatar, Turki, Korea Selatan, Hong Kong dan China,” katanya.

Kerjasama terbabit menyaksikan DSR memegang 70 peratus kepentingan dalam DSR Daily Fresh Sdn Bhd, manakala baki 30 peratus dipegang oleh Daily Fresh.

Source: Berita Harian