DSR Taiko eksport Musang King ke 15 negara

KUALA LUMPUR: DSR Taiko Bhd menyasar untuk memasarkan durian Musang King ke 15 negara pada awal tahun 2022 di bawah jenama D MasKing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ng Lian Poh, berkata antara negara yang akan menjadi destinasi eksport durian itu ialah China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Indonesia dan Afrika Selatan.

Katanya, setakat ini industri durian kebanyakannya mengeksport isi durian semata-mata, namun pihaknya cuba mengambil langkah ke depan dengan memasarkan durian segar ke luar negara.

“Kami berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan utama untuk membawa citarasa tersendiri Malaysia kepada dunia. Dengan sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kami secara agresif menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan membuka pasaran luar negara baharu melalui kedai sedia ada Daily Fresh untuk memikat selera global.

“Ini akan membantu kami memanfaatkan potensi pasaran produk durian hiliran yang besar. Tambahan, perkongsian kami dengan SIRIM Tech Venture akan membolehkan kami membangunkan penyelesaian perniagaan kebun-ke-pengguna (O2C) yang holistik untuk membangunkan piawaian industri sulung untuk durian Musang King, serta Sistem Penjejakan Bersepadu Musang King (MKITS) untuk meningkatkan kebolehkesanan produ.

“Ini juga adalah selaras dengan moto kami, ‘Origin Matters’ dan adalah perkongsian awam dan swasta yang sempurna untuk meningkatkan taraf industri perladangan durian untuk mengesahkan keaslian raja buah buatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan kedai mercunya, D.MasKing di Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd, Datuk Dr Ahmad Sabirin.

Kedai baharu DSR itu menawarkan produk durian istimewa seperti piza durian, bertih jagung truffle durian, Gelato Musang King, serta isian gelato Musang King dalam croissant, puff, wafel dan tart.

Sementara itu Arham berkata, salah satu etos MIDA adalah menjadi saluran yang berkesan untuk usaha pembangunan produk oleh syarikat Malaysia, bermula daripada permulaan R&D sehingga merangsang pengkomersilan dan jangkauan pemasaran di dalam negeri dan pasaran antarabangsa.

“MIDA melalui Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik (DICP) telah berjaya membantu banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan tempatan termasuk DSR untuk meneruskan rancangan perniagaan mereka dengan menyediakan sambungan yang hilang antara perniagaan, pembiayaan, teknologi dan keupayaan penyelidikan.

“Kami berbangga untuk memainkan peranan dalam memudahcarakan senario semua pihak menang yang akan menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Source: Berita Harian

Shopping Cart
Scroll to Top